Sunday 6 March 2016

KEPENTINGAN BERMAIN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DARI ASPEK FIZIKAL, EMOSI DAN SOSIAL


1.0  PENGENALAN
Bermain merupakan fitrah bagi kanak-kanak. Mereka belajar dan meneroka melalui aktiviti bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi (Morrison, 2000; & Spodek, 1973) dan sejak bayi lagi mereka sudah cenderung untuk memanipulasikan anggota badan mereka sendiri (Piaget, 1962). Bermain adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri sesuai dengan aktiviti yang mereka main (Isenberg & Jolongo, 1997). Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberikan hak dan peluang untuk bermain. Ibu bapa, guru, pengusaha tadika atau taska dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting agar kanak-kanak mendapat hak untuk bermain. Huraian Kurikulum Pendidikan Prasekolah Kebangsaan (2003) telah memberi penekanan tentang pendekatan belajar melalui bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah.

2.0  KEPENTINGAN BERMAIN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DARI ASPEK FIZIKAL, EMOSI DAN SOSIAL
Terdapat banyak kepentingan bermain yang meliputi pelbagai aspek seperti emosi, sosial dan fizikal.

2.1  Meningkatkan Kemahiran Sosial
Melalui bermain, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran sosial. Kanak-kanak dapat bergaul dengan rakan-rakan sekeliling dan seterusnya belajar untuk bekerjasama melalui permainan. Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dipegang oleh kumpulan sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Proses sosialisasi ini pula ditentukan pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan etnik dan budaya. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri.
Salah satu contoh permainan yang boleh meningkatkan kemahiran bersosial dalam kalangan kanak-kanak ialah main pondok-pondok. Permainan ini biasanya dimainkan secara beramai-ramai dalam kalangan kanak-kanak. Permainan ini mampu memberi kegembiraan kepada kanak-kanak disamping memberi peluang kepada kanak-kanak bergaul dengan orang lain selain daripada ibu bapa. Selain itu, kanak-kanak juga mendapat peluang untuk bergaul dengan masyarakat yang mempunyai agama, bangsa dan kepercayaan. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat belajar menghormati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

2.2  Meningkatkan Kemahiran Komunikasi
Bermain sangat penting dalam memupuk interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan mereka, guru-guru dan orang-orang di sekeliling mereka termasuklah dengan ibu bapa. Mereka akan dapat mengenali dan mengetahui bahawa emosi seseorang mungkin berbeza mengikut situasi tertentu dan tahu bagaimana cara untuk mengawal emosi tersebut. Lev Vygotsky percaya bahawa bermain boleh menggalakkan perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak. Melalui bermain memberi peluang kanak-kanak membina hubungan dan belajar bagaimana mereka berinteraksi dan menghormati kanak-kanak lain. Seperti mana yang diketahui, pengalaman langsung kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Pengalaman langsung yang paling asas ialah bermain. Alam kanak-kanak tidak dapat dipisahkan daripada bermain. Kanak-kanak belajar melalui proses bermain. Pembelajaran yang berlaku adalah secara holistik. pelbagai perkara dapat dipelajari oleh kanak-kanak melalui satu jenis permainan yang direka sendiri ataupun dikongsi bersama. Sering kali kanak-kanak mereka cipta permainan sendiri termasuk peraturan bermain, penggiliran, alatan dan sebagainya.
Terdapat banyak permainan  yang boleh meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak khususnya permainan dalam bentuk berkumpulan. Salah satu contoh permainan yang meningkatkan kemahiran komunikasi ialah permainan ketengteng. Melalui permainan ini, kanak-kanak dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Permainan ini mempunyai peraturan yang tersendiri mengikut tempat. Berdasarkan pengalaman saya, permainan ini memerlukan komunikasi antara satu sama lain meningkatkan kemampuan berbahasa kanak-kanak melalui perbualan dan permainan. Selain itu, kanak-kanak juga mampu belajar cara untuk menggunakan laras bahasa yang sesuai semasa bersama-sama dengan rakan. Melalui permainan, mereka juga dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Kanak-kanak mampu mempelajari perkataan baru hasil daripada pergaulan dan perbualan antara rakan sepermainan mereka.

2.3  Kanak-Kanak Dapat Mengawal Emosi Dengan Baik
Bermain juga dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian diri kanak-kanak supaya tidak malu untuk bersosial dengan orang lain. Kanak-kanak perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan mereka semasa bermain. Pendedahan kepada permainan dalaman (indoor game) dan permainan luaran (outdoor game) perlu diterapkan agar mereka sentiasa diberi peluang untuk menyertai dan menunjukkan bakat yang terpendam. Melalu bermain, kemahiran psikomotor dapat dibina dan ia juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan serta dapat mengeluarkan perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar (Noriati et. al., 2009).
Justeru itu, bolehlah disimpulkan emosi sebagai salah satu daripada ciri jiwa manusia yang boleh mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung pada sesuatu situasi. Ibrahim Mamat (1997), menyatakan emosi ialah perasaan jiwa yang kuat yang dialami oleh seseorang dalam tidak balasnya terhadap sesuatu ransangan. Adakalanya ia boleh berbentuk positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih dan adakalanya ia berbentuk negatif seperti sedih, marah, benci dan dendam. Menurut Gesell, emosi seseorang individu adalah semula jadi. Contohnya, tangisan mendayu-dayu meminta supaya ibu memeluknya. Menurut Havighurst pula, emosi seseorang adalah dipengaruhi oleh alam sekitarnya (Suppiah Nachiappan, 2008).
Contoh permainan yang dapat membantu dalam membentuk kanak-kanak yang mampu mengawal emosi dengan baik ialah main peranan. Main peranan ini ialah satu permainan meniru perbuatan orang dewasa. Sebagai contoh bermain menjadi doktor. Melalui permainan ini, kanak-kanak mampu meluahkan emosi mereka melalui bermain disamping dapat bergembira. Dalam keadaan tertentu seperti peperangan, bencana, kanak-kanak merasa trauma dengan apa yang telah berlaku. Sudah pasti mereka merasa begitu tertekan. Justeru dengan bermain dengan pelbagai permainan dalam mahupun luar, mereka dapat mengubah emosi dan mengatasi masalah bimbang dan lama kelamaan trauma yang dihadapi akan hilang. 
Menurut teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri untuk ke alam dewasa (Noriati A. Rashid et. al, 2009). Melalui main peranan, kanak-kanak mampu mencapai proses kematangan dengan lebih cepat. Mereka mendapat latihan untuk menjadi orang dewasa melalui permainan. Apabila kanak-kanak mencapai proses kematangan lebih awal, mereka semestinya mampu mengawal emosi dengan lebih baik.
2.4  Membina Kemahiran Psikomotor
Kanak-kanak menggerakkan motor kasar dan motor halus secara tidak langsung semasa bermain. Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari.
Contoh permainan yang boleh membina kemahiran psikomotor ialah bermain plastisen. Melalui bermain plastisen, kanak-kanak mampu membina kemahiran psikomotor dengan menggerakkan motor kasar dan halus semasa membentuk plastisen berkenaan. Kanak-kanak menggentel, menguli, dan memotong plastisen. Dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah, Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) telah mengariskan beberapa matlamat dan hasil pembelajaran motor halus bagi kanak-kanak. Matlamat umum perkembangan motor halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara lebih khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat menggunakan jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Oleh itu, permainan plastisen ini boleh digunakan untuk mengembangkan penggunaan motor kasar dan motor halus bagi kanak-kanak prasekolah.

3.0  RUMUSAN
Bermain sememangnya penting bagi kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat berkembang dari segi emosi, fizikal, dan sosial. Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberi peluang dan hak untuk bermain bagi memenuhi keperluan mereka.