Showing posts with label fizikal. Show all posts
Showing posts with label fizikal. Show all posts

Sunday, 6 March 2016

KEPENTINGAN BERMAIN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DARI ASPEK FIZIKAL, EMOSI DAN SOSIAL


1.0  PENGENALAN
Bermain merupakan fitrah bagi kanak-kanak. Mereka belajar dan meneroka melalui aktiviti bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi (Morrison, 2000; & Spodek, 1973) dan sejak bayi lagi mereka sudah cenderung untuk memanipulasikan anggota badan mereka sendiri (Piaget, 1962). Bermain adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri sesuai dengan aktiviti yang mereka main (Isenberg & Jolongo, 1997). Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberikan hak dan peluang untuk bermain. Ibu bapa, guru, pengusaha tadika atau taska dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting agar kanak-kanak mendapat hak untuk bermain. Huraian Kurikulum Pendidikan Prasekolah Kebangsaan (2003) telah memberi penekanan tentang pendekatan belajar melalui bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah.

2.0  KEPENTINGAN BERMAIN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DARI ASPEK FIZIKAL, EMOSI DAN SOSIAL
Terdapat banyak kepentingan bermain yang meliputi pelbagai aspek seperti emosi, sosial dan fizikal.

2.1  Meningkatkan Kemahiran Sosial
Melalui bermain, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran sosial. Kanak-kanak dapat bergaul dengan rakan-rakan sekeliling dan seterusnya belajar untuk bekerjasama melalui permainan. Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dipegang oleh kumpulan sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Proses sosialisasi ini pula ditentukan pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan etnik dan budaya. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri.
Salah satu contoh permainan yang boleh meningkatkan kemahiran bersosial dalam kalangan kanak-kanak ialah main pondok-pondok. Permainan ini biasanya dimainkan secara beramai-ramai dalam kalangan kanak-kanak. Permainan ini mampu memberi kegembiraan kepada kanak-kanak disamping memberi peluang kepada kanak-kanak bergaul dengan orang lain selain daripada ibu bapa. Selain itu, kanak-kanak juga mendapat peluang untuk bergaul dengan masyarakat yang mempunyai agama, bangsa dan kepercayaan. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat belajar menghormati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

2.2  Meningkatkan Kemahiran Komunikasi
Bermain sangat penting dalam memupuk interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan mereka, guru-guru dan orang-orang di sekeliling mereka termasuklah dengan ibu bapa. Mereka akan dapat mengenali dan mengetahui bahawa emosi seseorang mungkin berbeza mengikut situasi tertentu dan tahu bagaimana cara untuk mengawal emosi tersebut. Lev Vygotsky percaya bahawa bermain boleh menggalakkan perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak. Melalui bermain memberi peluang kanak-kanak membina hubungan dan belajar bagaimana mereka berinteraksi dan menghormati kanak-kanak lain. Seperti mana yang diketahui, pengalaman langsung kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Pengalaman langsung yang paling asas ialah bermain. Alam kanak-kanak tidak dapat dipisahkan daripada bermain. Kanak-kanak belajar melalui proses bermain. Pembelajaran yang berlaku adalah secara holistik. pelbagai perkara dapat dipelajari oleh kanak-kanak melalui satu jenis permainan yang direka sendiri ataupun dikongsi bersama. Sering kali kanak-kanak mereka cipta permainan sendiri termasuk peraturan bermain, penggiliran, alatan dan sebagainya.
Terdapat banyak permainan  yang boleh meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak khususnya permainan dalam bentuk berkumpulan. Salah satu contoh permainan yang meningkatkan kemahiran komunikasi ialah permainan ketengteng. Melalui permainan ini, kanak-kanak dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Permainan ini mempunyai peraturan yang tersendiri mengikut tempat. Berdasarkan pengalaman saya, permainan ini memerlukan komunikasi antara satu sama lain meningkatkan kemampuan berbahasa kanak-kanak melalui perbualan dan permainan. Selain itu, kanak-kanak juga mampu belajar cara untuk menggunakan laras bahasa yang sesuai semasa bersama-sama dengan rakan. Melalui permainan, mereka juga dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Kanak-kanak mampu mempelajari perkataan baru hasil daripada pergaulan dan perbualan antara rakan sepermainan mereka.

2.3  Kanak-Kanak Dapat Mengawal Emosi Dengan Baik
Bermain juga dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian diri kanak-kanak supaya tidak malu untuk bersosial dengan orang lain. Kanak-kanak perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan mereka semasa bermain. Pendedahan kepada permainan dalaman (indoor game) dan permainan luaran (outdoor game) perlu diterapkan agar mereka sentiasa diberi peluang untuk menyertai dan menunjukkan bakat yang terpendam. Melalu bermain, kemahiran psikomotor dapat dibina dan ia juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan serta dapat mengeluarkan perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar (Noriati et. al., 2009).
Justeru itu, bolehlah disimpulkan emosi sebagai salah satu daripada ciri jiwa manusia yang boleh mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung pada sesuatu situasi. Ibrahim Mamat (1997), menyatakan emosi ialah perasaan jiwa yang kuat yang dialami oleh seseorang dalam tidak balasnya terhadap sesuatu ransangan. Adakalanya ia boleh berbentuk positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih dan adakalanya ia berbentuk negatif seperti sedih, marah, benci dan dendam. Menurut Gesell, emosi seseorang individu adalah semula jadi. Contohnya, tangisan mendayu-dayu meminta supaya ibu memeluknya. Menurut Havighurst pula, emosi seseorang adalah dipengaruhi oleh alam sekitarnya (Suppiah Nachiappan, 2008).
Contoh permainan yang dapat membantu dalam membentuk kanak-kanak yang mampu mengawal emosi dengan baik ialah main peranan. Main peranan ini ialah satu permainan meniru perbuatan orang dewasa. Sebagai contoh bermain menjadi doktor. Melalui permainan ini, kanak-kanak mampu meluahkan emosi mereka melalui bermain disamping dapat bergembira. Dalam keadaan tertentu seperti peperangan, bencana, kanak-kanak merasa trauma dengan apa yang telah berlaku. Sudah pasti mereka merasa begitu tertekan. Justeru dengan bermain dengan pelbagai permainan dalam mahupun luar, mereka dapat mengubah emosi dan mengatasi masalah bimbang dan lama kelamaan trauma yang dihadapi akan hilang. 
Menurut teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri untuk ke alam dewasa (Noriati A. Rashid et. al, 2009). Melalui main peranan, kanak-kanak mampu mencapai proses kematangan dengan lebih cepat. Mereka mendapat latihan untuk menjadi orang dewasa melalui permainan. Apabila kanak-kanak mencapai proses kematangan lebih awal, mereka semestinya mampu mengawal emosi dengan lebih baik.
2.4  Membina Kemahiran Psikomotor
Kanak-kanak menggerakkan motor kasar dan motor halus secara tidak langsung semasa bermain. Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari.
Contoh permainan yang boleh membina kemahiran psikomotor ialah bermain plastisen. Melalui bermain plastisen, kanak-kanak mampu membina kemahiran psikomotor dengan menggerakkan motor kasar dan halus semasa membentuk plastisen berkenaan. Kanak-kanak menggentel, menguli, dan memotong plastisen. Dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah, Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) telah mengariskan beberapa matlamat dan hasil pembelajaran motor halus bagi kanak-kanak. Matlamat umum perkembangan motor halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara lebih khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat menggunakan jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Oleh itu, permainan plastisen ini boleh digunakan untuk mengembangkan penggunaan motor kasar dan motor halus bagi kanak-kanak prasekolah.

3.0  RUMUSAN
Bermain sememangnya penting bagi kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat berkembang dari segi emosi, fizikal, dan sosial. Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberi peluang dan hak untuk bermain bagi memenuhi keperluan mereka.


Sunday, 8 November 2015

TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

1.0  PENGENALAN

Kepentingan dalam bidang perkembangan kanak-kanak mula muncul pada awal abad ke-20. Pelbagai teori perkembangan kanak-kanak yang telah dikemukakan oleh pelbagai tokoh telah menjadi asas kepada perkembangan pendidikan awal kanak-kanak kini. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).
Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi dan wawasan negara. Kajian  yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.
Pelbagai teori telah dijadikan dirujukan untuk membentuk kurikulum, dasar dan juga program dalam pendidikan kanak-kanak di negara kita. Selain itu, perkembangan pendidikan kanak-kanak di negara kita juga banyak dipengaruhi oleh teori-teori perkembangan kanak-kanak seperti teori perkembangan kognitif Jean Piaget, teori perkembangan psikososial Eric Ericson dan teori perkembangan fizikal Robert Havighurst.

2.0  TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Terdapat pelbagai teori yang telah diutarakan oleh pelbagai tokoh berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak dari segi emosi, moral, fizikal dan kognitif.

2.1 TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF - JEAN PIAGET
Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1981 ketika berusia 84 tahun.
Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian kecerdasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.
Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Setiap individu akan sentiasa mencuba untuk memahami dan mengadaptasi perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran mereka. Piaget mengenalpasti empat faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu.
·        Kematangan biologi. Proses pemikiran yang dipengaruhi oleh faktor baka atau genetik.
·        Interaksi individu dengan persekitaran. Individu berinteraksi dengan persekitaran untuk memahami perkara-perkara yang berlaku. Mereka akan meneroka, menguji, memerhati dan menyusun maklumat yang didapati.
·        Pengalaman sosial. Perkembangan kognitif juga dipengaruhi oleh pergaulan individu dengan orang-orang di persekitaran : ibu bapa, adik beradik, rakan, guru dan sebagainya.
·        Keseimbangan. Proses keseimbangan adalah merupakan salah satu cara yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasi dengan situasi-situasi yang baru dialami.
Menurut Piaget (1960), semua manusia dilahirkan dengan  kecenderungan secara positif untuk berinteraksi dan mentafsir persekitarannya. Kita sentiasa cenderung untuk memahami sesuatu situasi, dalam menyelesaikan sesuatu kekusutan. Kita akan berasa kurang selesa sekiranya berdepan dengan sesuatu keadaan yang tidak menentu atau keadaan yang tidak dijangka. Ketidakselesaan ini akan mendorong individu mencari penyelesaian atau keseimbangan.
Setiap kali individu memperolehi sesuatu pengalaman, mereka akan menyusun pengalaman-pengalaman ini di dalam minda masing-masing dan membentuk satu sistem yang dipanggil skema. Proses penyusunan dan pembentukan skema ini dipanggil organisasi. Skema-skema ini akan digunakan oleh individu apabila mereka berdepan dengan sesuatu situasi yang memerlukan penyelesaian. Pembentukkan skema bermula sebaik sahaja seseorang individu dilahirkan. Ia bermula dengan pembentukan skema yang mudah kemudian beransur kepada skema yang lebih kompleks. Contohnya, bayi membentuk skema untuk mencapai sesuatu objek, kanak-kanak membina skema-skema untuk mengkategori sesuatu benda atau skema untuk mengenal huruf. Dalam banyak situasi, skema-skema yang dibentuk ini akan berdepan dengan situasi yang baru. Contohnya, kanak-kanak yang telah mengenal huruf berdepan dengan situasi baru untuk menyusun huruf-huruf tersebut membentuk perkataanDalam situasi-situasi yang baru ini, individu akan berdepan dengan masalah. Mereka perlu mengubahsuai skema lama kepada skema baru di panggil adaptasi.
Adaptasi melibatkan dua proses yang saling berkait iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi berlaku apabila individu cuba memahami pengalaman baru dan cuba untuk menyesuaikan pengalaman ini dengan skema-skema yang telah sedia ada. Contohnya, dalam mengenal huruf, kanak-kanak mungkin akan menyatakan ‘d’ sebagai ‘b’ apabila diperkenalkan. Melalui pengalaman dan bimbingan, kanak-kanak akan cuba memadankan pengetahuan baru ini dengan skema lama yang telah ada. Akomodasi akan berlaku apabila individu dapat menukar skema lama untuk disesuaikan dengan pengalaman baru. Individu akan mengubah cara pemikiran untuk disesuaikan dengan pengalaman baru dan seterusnya membentuk skema baru. Di dalam contoh tersebut, akomodasi berlaku apabila kanak-kanak dapat mengenal dan membezakan ‘d’ daripada ‘b’. Menurut Piaget, proses mengorganisasi, mengamilasi dan mengakomodasi adalah proses yang digunakan oleh individu untuk mencapai keseimbangan. Individu akan terus menguji minda mereka untuk mencari keseimbangan.

2.1.1 Peringkat Perkembangan Kognitif Teori Piaget
Peringkat Sensori Motor ( 0 hingga 2 tahun )
Pada peringkat umur bayi, mereka belajar melalui interaksi deria dengan persekitarannya. Sebagai contoh, bayi akan mengangkat benda, memain-mainkannya, merasa dan menggigitnya. Di samping itu, mereka memerhatikan benda itu melalui penglihatan dan pendengaran bunyi. Di peringkat umur dua tahun, bayi memperoleh kepercayaan tentang pengekalan objek, iaitu objek itu akan terus wujud walaupun objek tersebut tidak dapat dilihat dan disentuh. Selain itu, mereka dapat melakukan tindakan ulangan seperti menghisap ibu jari. Pada peringkat ini juga, mereka mula meniru perlakuan yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. Mereka mempelajari perlakuan ini melalui pemerhatian terhadap orang lain atau melalui objek yang dapat dilihat dan disentuhnya. Kesimpulannya, pembelajaran kanak-kanak pada tahap ini bergantung kepada pengalaman sensori dan motor iaitu dengan menggenggam, menghisap dan lain-lain.
Peringkat Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun )
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula berfikir secara lojik tetapi belum boleh menguasai kebolehan memproses kemahiran berfikir mengikut peraturan-peraturan yang lojik. Namun begitu, kanak-kanak mula mempraktikkan kemahiran yang baru diperoleh dengan menggunakan simbol untuk mewakili objek. Ini dapat dilihat dari sifat pemikiran simbolik melalui permainan olok-olok, animisme dan egosentrik. Salah satu aktiviti pemikiran simbol ialah lakonan drama yang menjadi pengalaman hidup. Berdasarkan pengalaman, kanak-kanak pada peringkat ini suka bermain masak-masak, berlagak menjadi doktor, dan berlagak sebagai penjual dan pembeli. Lakonan ini juga adalah permainan olok-olok. Penggunaan bahasa kanak-kanak pada peringkat ini berkembang maju. Kanak-kanak masih belum mampu membezakan antara benda bernyawa dan tidak bernyawa yang mana mereka percaya bahawa benda tidak bernyawa seperti pokok boleh bercakap seperti manusia. Piaget menyebut keadaan ini sebagai animisme.  
            Pada permulaan peringkat praoperasi, kanak-kanak mempunyai kesukaran mengoperasi konsep, misalnya mereka tidak dapat mengira mengikut urutan dari satu hingga sepuluh. Oleh itu, pada peringkat ini pengajaran kanak-kanak hendaklah sesuai dengan tahap mereka.
Peringkat Operasi yang Konkrit ( 7 hingga 11 tahun )
Pada peringkat sekolah rendah, pemikiran kanak-kanak lebih fleksibel, dapat berfikir melalui peraturan lojik atau melakukan operasi mental dengan tersusun. Kanak-kanak hanya boleh melaksanakan pemikiran lojik dalam keadaan yang konkrit atau menggunakan bahan maujud. 
Peringkat Operasi Formal ( 11 hingga 15 tahun )
Pada peringkat ini, mereka tidak lagi dikenali sebagai kanak-kanak tetapi remaja. Piaget berpendapat mereka dapat berfikir secara lojik, termasuk pemikiran abstrak dan membuat hipotesis. Mereka juga berupaya menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak dengan penguasaan kebolehan penyelesaian masalah yang dikombinasikan pengetahuan, pengalamnan dan kemahiran. Pendekatanpengajaran pula melibatkan penggunaan kaedah lisan yang lebih banyak. Pelajar di sekolah menengah digalakkan mendengar, membaca dan berbincang, kemudian melakukan latihan.

2.1 TEORI PERKEMBANGAN FIZIKAL – ROBERT HAVIGHURST
Robert Havighurst merupakan seorang ahli psikologi Amerika yang terkenal dengan teori perkembangan sosio budaya dan antropologi. Beliau berpendapat perkembangan kanak-kanak amat dipengaruhi oleh persekitarannya. Ini bermakna perkembangan personalitinya juga turut dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma serta budaya masyarakat dan persekitarannya. Menurut beliau lagi, faktor biologi, sosial dan psikologi juga mempengaruhi perkembangan seseorang individu.
Selain itu, Robert Havighurst juga memperkenalkan konsep tugas-tugas perkembangan. Tugas-tugas perkembangan merujuk kepada satu-satu tugas yang lahir pada satu-satu masa yang lahir dalam hidup individu tersebut. Menurut Havighurst (1967), kejayaan dalam mencapai tugas ini akan memberikan kegembiraan kepada individu tersebut manakala kegagalan akan membawa kesedihan dan kesusahan dalam melaksanakan tugas-tugas yang selanjutnya. Beliau telah membahagikan tugas perkembangan kepada tiga peringkat iaitu :
·        Peringkat Bayi dan Awal Kanak-kanak ( 0-6 tahun)
·        Peringkat Pertengahan Kanak-kanak ( 6-12 tahun )
·        Peringkat Awal Remaja dan Remaja ( 12-18 tahun )

2.2.1 Peringkat-peringkat Perkembangan Fizikal Teori Havighurst
i) Peringkat Bayi dan Awal Kanak-kanak ( 0-6 tahun)
Kebanyakkan kanak-kanak mula berjalan di antara umur 9-15 bulan. Pada peringkat ini, semua urat dan otot di kaki dan badan mula berkembang ke tahap yang mampu mencapai tugas perkembangan ini. Kanak-kanak akan mula berlari dan melompat selepas pandai berjalan. Sistem penghadaman kanak-kanak beransur-ansur bersedia menghadam dan menyerap pelbagai jenis makanan. Seterusnya organ-organ menguyahnya akan berkembang  sehingga dapat mengunyah makanan pejal apabila umurnya mencapai 2 tahun.
            Kanak-kanak mula menyebut dan berkomunikasi dengan menggunakan bunyi untuk bercakap. Pertuturan menjadi cara mereka meluahkan perasaan mereka sama ada suka atau tidak terhadap sesuatu. Latihan membuang air kecil dan besar pada masa dan tempat yang sesuai adalah latihan yang pertama yang diterima oleh kanak-kanak. Kesan latihan ini mungkin berterusan dan mungkin mempengaruhi waktu kanak-kanak tersebut pada kemudian hari.Kanak-kanak juga sedar sejak awal lagi tentang perbezaan jantina manusia. Sejak awal lagi kanak-kanak diajar bertingkah laku sebagai seorang lelaki dan perempuan serta menjaga pergaulan mereka. Kemudian ia juga mengetahui perbezaan struktur tubuh lelaki dan perempuan.
Selain itu pada peringkat ini kanak-kanak juga telah bersedia untuk belajar dengan memberi fokus kepada tanda-tanda yang mewakili huruf dan perkataan. Kesediaan membaca juga dapat diasuh melalui pengalaman langsung kanak-kanak. Ketika kanak-kanak berumur 6 tahun, Kanak-kanak sudah pandai untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa. Mereka juga sedia mendengar pandangan orang lain dan boleh membezakan betul dan salah.
ii) Peringkat Pertengahan Kanak-kanak ( 6-12 tahun )
Pada peringkat ini kanak-kanak dapat menguasai beberapa kemahiran fizikal dalam permainan. Hal ini kerana pertumbuhan tulang dan otot kanak-kanak mula berkembang. Dalam hal ini pengaruh rakan sebaya memainkan yang amat penting terhadap kanak-kanak. Jadi kanak-kanak haruslah diasuh dengan didikan sempurna untuk membina sikap diri yang baik. Kanak-kanak mula belajar bertolak-ansur dengan rakan sebaya dalam kehidupan sosial mereka. Pertumbuhan ini juga akan menyebabkan kanak-kanak berasa jauh dari keluarga dan akan pergi kepada rakan sebaya. Kanak-kanak juga harus belajar peranan jantina mereka. Dalam hal ini mereka dibantu oleh pengaruh ibu bapa, adik beradik serta saudara mar. Di sekolah pula guru berperanan memberikan contoh yang terbaik kepada murid-murid.
Pada peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh menguasai kemahiran-kemahiran asas iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira (3M). Kanak-kanak juga mula berkawan dengan orang lain dan mampu memahami konsep hidup serta moral. Selain itu, mereka mula memahami dan belajar membentuk sikap yang mengakui hak, keupayaan dan kelemahan pada setiap individu.
iii) Peringkat Awal Remaja dan Remaja ( 12-18 tahun )
Pada peringkat ini, golongan remaja akan mengalami perubahan dari segi bentuk badan dan suara. Kanak-kanak perempuan akan berkelakuan sebagai orang perempuan dan lelaki akan berkelakuan orang lelaki. Mereka harus memahami bagaimana untuk bergaul dan bersosial bersama kawan-kawan yang berlainan jantina. Remaja juga  belajar membentuk emosi daripada ibu bapa iaitu belajar untuk menghormati orang yang lebih tua dari mereka. Selain itu, remaja harus bersedia memilih satu pekerjaan yang sesuai untuk masa depannya. Remaja juga sedang mempelajari peranan dan tanggungjawab yang sewajarnya dalam kehidupan mereka pada dewasa kelak.