1.0 PENGENALAN
Bermain merupakan fitrah bagi kanak-kanak. Mereka belajar dan
meneroka melalui aktiviti bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi
(Morrison, 2000; & Spodek, 1973) dan sejak bayi lagi mereka sudah cenderung
untuk memanipulasikan anggota badan mereka sendiri (Piaget, 1962). Bermain
adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif
serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan
dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri sesuai dengan
aktiviti yang mereka main (Isenberg & Jolongo, 1997). Oleh itu, kanak-kanak
seharusnya diberikan hak dan peluang untuk bermain. Ibu bapa, guru, pengusaha
tadika atau taska dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting agar
kanak-kanak mendapat hak untuk bermain. Huraian Kurikulum Pendidikan Prasekolah
Kebangsaan (2003) telah memberi penekanan tentang pendekatan belajar melalui
bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah.
2.0 KEPENTINGAN BERMAIN DALAM KALANGAN
KANAK-KANAK DARI ASPEK FIZIKAL, EMOSI DAN SOSIAL
Terdapat banyak kepentingan bermain yang meliputi pelbagai aspek
seperti emosi, sosial dan fizikal.
2.1 Meningkatkan
Kemahiran Sosial
Melalui
bermain, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran sosial. Kanak-kanak dapat
bergaul dengan rakan-rakan sekeliling dan seterusnya belajar untuk bekerjasama
melalui permainan. Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak
mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dipegang oleh kumpulan
sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang
diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Proses sosialisasi ini pula ditentukan
pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya
mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak
tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan
etnik dan budaya. Kajian
(Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa
bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk
menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka
sendiri.
Salah
satu contoh permainan yang boleh meningkatkan kemahiran bersosial dalam kalangan
kanak-kanak ialah main pondok-pondok. Permainan ini biasanya dimainkan secara
beramai-ramai dalam kalangan kanak-kanak. Permainan ini mampu memberi
kegembiraan kepada kanak-kanak disamping memberi peluang kepada kanak-kanak
bergaul dengan orang lain selain daripada ibu bapa. Selain itu, kanak-kanak
juga mendapat peluang untuk bergaul dengan masyarakat yang mempunyai agama,
bangsa dan kepercayaan. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat belajar
menghormati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
2.2
Meningkatkan
Kemahiran Komunikasi
Bermain
sangat penting dalam memupuk interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan mereka,
guru-guru dan orang-orang di sekeliling mereka termasuklah dengan ibu bapa.
Mereka akan dapat mengenali dan mengetahui bahawa emosi seseorang mungkin
berbeza mengikut situasi tertentu dan tahu bagaimana cara untuk mengawal emosi
tersebut. Lev Vygotsky
percaya bahawa bermain boleh menggalakkan perkembangan bahasa seseorang
kanak-kanak. Melalui bermain memberi peluang kanak-kanak membina hubungan
dan belajar bagaimana mereka berinteraksi dan menghormati kanak-kanak lain. Seperti mana yang
diketahui, pengalaman langsung kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan dan
pembelajaran kanak-kanak. Pengalaman langsung yang paling asas ialah bermain.
Alam kanak-kanak tidak dapat dipisahkan daripada bermain. Kanak-kanak belajar
melalui proses bermain. Pembelajaran yang berlaku adalah secara holistik.
pelbagai perkara dapat dipelajari oleh kanak-kanak melalui satu jenis permainan
yang direka sendiri ataupun dikongsi bersama. Sering kali kanak-kanak mereka
cipta permainan sendiri termasuk peraturan bermain, penggiliran, alatan dan
sebagainya.
Terdapat banyak permainan yang boleh meningkatkan kemahiran komunikasi
kanak-kanak khususnya permainan dalam bentuk berkumpulan. Salah satu contoh
permainan yang meningkatkan kemahiran komunikasi ialah permainan ketengteng.
Melalui permainan ini, kanak-kanak dapat berkomunikasi antara satu sama lain.
Permainan ini mempunyai peraturan yang tersendiri mengikut tempat. Berdasarkan
pengalaman saya, permainan ini memerlukan komunikasi antara satu sama lain
meningkatkan kemampuan berbahasa kanak-kanak melalui perbualan dan permainan.
Selain itu, kanak-kanak juga mampu belajar cara untuk menggunakan laras bahasa
yang sesuai semasa bersama-sama dengan rakan. Melalui permainan, mereka juga
dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Kanak-kanak mampu mempelajari perkataan
baru hasil daripada pergaulan dan perbualan antara rakan sepermainan mereka.
2.3
Kanak-Kanak
Dapat Mengawal Emosi Dengan Baik
Bermain juga
dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian diri kanak-kanak supaya tidak malu
untuk bersosial dengan orang lain. Kanak-kanak perlu mengutamakan kesihatan dan
keselamatan mereka semasa bermain. Pendedahan kepada permainan dalaman (indoor
game) dan permainan luaran (outdoor game) perlu diterapkan agar mereka sentiasa
diberi peluang untuk menyertai dan menunjukkan bakat yang terpendam. Melalu
bermain, kemahiran psikomotor dapat dibina dan ia juga dapat meningkatkan
kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan serta dapat mengeluarkan
perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar (Noriati et. al., 2009).
Justeru
itu, bolehlah disimpulkan emosi sebagai salah satu daripada ciri jiwa manusia
yang boleh mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada psikologi atau
mental seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung pada sesuatu
situasi. Ibrahim Mamat (1997), menyatakan emosi ialah perasaan jiwa yang kuat
yang dialami oleh seseorang dalam tidak balasnya terhadap sesuatu ransangan.
Adakalanya ia boleh berbentuk positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih
dan adakalanya ia berbentuk negatif seperti sedih, marah, benci dan dendam.
Menurut Gesell, emosi seseorang individu adalah semula jadi. Contohnya,
tangisan mendayu-dayu meminta supaya ibu memeluknya. Menurut Havighurst pula,
emosi seseorang adalah dipengaruhi oleh alam sekitarnya (Suppiah Nachiappan,
2008).
Contoh
permainan yang dapat membantu dalam membentuk kanak-kanak yang mampu mengawal
emosi dengan baik ialah main peranan. Main peranan ini ialah satu permainan
meniru perbuatan orang dewasa. Sebagai contoh bermain menjadi doktor. Melalui
permainan ini, kanak-kanak mampu meluahkan emosi mereka melalui bermain
disamping dapat bergembira. Dalam keadaan tertentu seperti peperangan, bencana,
kanak-kanak merasa trauma dengan apa yang telah berlaku. Sudah pasti mereka
merasa begitu tertekan. Justeru dengan bermain dengan pelbagai permainan dalam
mahupun luar, mereka dapat mengubah emosi dan mengatasi masalah bimbang dan
lama kelamaan trauma yang dihadapi akan hilang.
Menurut
teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri
untuk ke alam dewasa (Noriati A. Rashid et. al, 2009). Melalui main peranan,
kanak-kanak mampu mencapai proses kematangan dengan lebih cepat. Mereka
mendapat latihan untuk menjadi orang dewasa melalui permainan. Apabila
kanak-kanak mencapai proses kematangan lebih awal, mereka semestinya mampu
mengawal emosi dengan lebih baik.
2.4 Membina
Kemahiran Psikomotor
Kanak-kanak menggerakkan motor kasar
dan motor halus secara tidak langsung semasa bermain. Permainan biasanya melibatkan aktiviti
fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor
kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan
gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk
bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak
meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari.
Contoh permainan yang boleh membina kemahiran
psikomotor ialah bermain plastisen. Melalui bermain plastisen, kanak-kanak
mampu membina kemahiran psikomotor dengan menggerakkan motor kasar dan halus
semasa membentuk plastisen berkenaan. Kanak-kanak menggentel, menguli, dan
memotong plastisen. Dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah, Pusat
Perkembangan Kurikulum (2003) telah mengariskan beberapa matlamat dan hasil
pembelajaran motor halus bagi kanak-kanak. Matlamat umum perkembangan motor
halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara lebih
khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat menggunakan
jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Oleh itu, permainan plastisen ini boleh
digunakan untuk mengembangkan penggunaan motor kasar dan motor halus bagi
kanak-kanak prasekolah.
3.0 RUMUSAN
Bermain
sememangnya penting bagi kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat berkembang
dari segi emosi, fizikal, dan sosial. Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberi
peluang dan hak untuk bermain bagi memenuhi keperluan mereka.