Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Sunday, 8 November 2015

KAITAN ANTARA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN KANAK-KANAK DAN TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara kita telah mengalami pelbagai perubahan dan penambahan sejak dari awal pembentukannya. Pendidikan merupakan medium penting dalam pembentukan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek. Pendidikan ini disesuaikan dengan kemajuan dan cabaran pada era globalisasi kini disamping membantu perkembangan kanak-kanak agar terus berkembang.

Pendidikan Prasekolah
Garis Panduan Kurikulum Prasekolah telah digubal buat pertama kali semasa Projek Imbuhan dijalankan pada tahun 1973 hingga 1983. Sempena dengan perlaksanaan program pendidikan prasekolah ‘annex’ iaitu penubuhan tadika di sekolah rendah seluruh negara, garis panduan yang sedia ada pada masa itu disemak semula mengikut perkembangan semasa dan keperluan agensi yang menjalankan pendidikan prasekolah. Garis panduan itu telah diterbitkan pada tahun 1993. Akta Pendidikan 1996 telah menaikkan martabat pendidikan prasekolah dengan memasukkan pendidikan prasekolah ke dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sehubungan dengan itu, satu garis panduan kurikulum prasekolah yang juga dipanggil kurikulum prasekolah telah diterbitkan pada tahun 1998 dan dikuatkuasakan penggunaannya mulai 1 Januari 1999 untuk semua tadika di negara ini. Program prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.
Pendidikan awal yang berkualiti perlu bagi meningkatkan perkembangan kanak-kanak. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan menggariskan enam komponen utama yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh. Ia merangkumi bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, kerohanian moral, perkembangan emosi, perkembangan fizikal serta kreativiti dan estetika.  Pendidikan untuk kanak-kanak cerdas ini adalah penting, seperti di negara barat, mereka amat menitikberatkan berkaitan pendidikan kanak-kanak diperingkat awal. Hal ini kerana, kanak-kanak perlu di asuh di peringkat awal agar dapat menyumbangkan pelbagai idea kepada negara di masa akan datang. Pendidikan prasekolah ini bertujuan untuk menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek pembelajaran, menguasai kemahiran asas, dan memupuk sikap positif sebelum masuk sekolah rendah. Kajian Bloom (1964) membuktikan 80% kecerdasan seseorang individu pada usia 18 tahun terbina pada peringkat  umur prasekolah.
Berdasarkan teori perkembangan kognitif Jean Piaget, pada peringkat praoperasi perkembangan bahasa berlaku secara beransur-ansur dan pemikiran simbolik bermula. Kanak-kanak sudah mula mengenali suku kata, bunyi perkataan dan cara menyebut pada (Haliza & Joy, 2008). Sesuai dengan pembelajaran di peringkat prasekolah, kemahiran berbahasa yang merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis diberi penekanan ketika berada dalam sekolah rendah. Pendekatan yang digunakan ialah kaedah bermain sambil belajar. Aktiviti seperti bercerita, mendengar cerita dan berbual dengan rakan. Berdasarkan teori Piaget pada peringkat praoperasional (umur 2-7 tahun) kemahiran bahasa kanak-kanak berkembang dengan cepat dan dapat diasah melalui pelbagai aktiviti. Menurut Sufean et al. (2005), kanak-kanak yang berada di prasekolah mengikut teori perkembangan kognitif Piaget berada pada peringkat praoperasional dan konkrit operasi. Pada peringkat ini, proses pembelajaran tindakan secara mental terhadap sesuatu perkara ataupun objek berlaku. Semasa proses ini, kanak-kanak belajar bagaimana menggunakan perkataan dan gambaran untuk mewakilkan objek. Kanak-kanak prasekolah sebenarnya sudah memahami dengan baik tentang bahasa bertulis sebelum mereka belajar membaca dan menulis secara konvensional lagi (Berk, 2008). Kemahiran ini seterusnya boleh diasah melalui pembelajaran menggunakan aktiviti bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan mereka. Aktiviti bermain dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus belajar konsep literasi awal. Apabila kanak-kanak minat untuk terus belajar, mereka memperoleh kemahiran baharu dan kemahiran ini dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak pada jangka masa panjang (Cristie & Roskos 2009; Almon, 2004).
Selain itu, penggunaan alat bantu mengajar (ABM) ataupun bahan konkrit dapat membina imaginasi kanak-kanak. Piaget (1952) menyatakan bahawa aktiviti dan permainan yang menarik, mampu memberi pemahaman yang lebih berkesan kepada kanak-kanak normal. Sebagai contoh, pembelajaran berkaitan nombor biasanya terjadi melalui pengalaman, interaksi sosial, masa, bahasa dan kefahaman (Rosazizi & Nani, 2004). Menurut Nani dan Rohani (2004) dalam Panduan Kognitif Kanak-Kanak Prasekolah, urutan perkembangan pembelajaran Matematik melalui tiga tahap iaitu tahap konkrit, gambar dan seterusnya tahap simbol. Kanak-kanak diberi pengajaran yang sesuai pada tahap mereka kerana sesuai dengan teori kognitif yang telah dikemukakan oleh Jean Piaget.
Selain itu, nombor dan warna sudah mula difahami oleh kanak-kanak peringkat prasekolah. Menurut Wright dan Sugden (1999) dalam model peralihan, mereka mengaitkan kematangan individu dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Proses pembelajaran ini pula berlaku dalam ruang persekitaran serta perlu memenuhi kehendak khusus aktiviti yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut. Pelbagai aktiviti dalam prasekolah juga dapat membantu meningkatkan perkembangan operasi mental kanak-kanak melalui aktiviti yang sesuai seperti menyusun mengikut urutan, pengelasan dan keabadian. Perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat ini melibatkan pemerhatian, perbandingan dan diskriminasi, ramalan, konsep masa, konsep ruang dan penyelesaian masalah, pengelasan, padanan satu dengan satu konsep nombor, operasi nombor dan pengukuran.  Kanak-kanak pada tahap ini juga mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktiviti yang berbentuk menyusun objek, mengetahui cara bagaimana untuk meletakkan objek yang sama berdasarkan kriterianya. Kanak-kanak ini juga sudah mula menggunakan bahasa untuk mengkategorikan barang.

Pendidikan Sekolah Rendah
Pendidikan sekolah rendah merupakan peringkat pendidikan formal yang memberikan asas pembelajaran kepada kanak-kanak. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran telah mewujudkan satu kurikulum seragam untuk memastikan subjek-subjek teras diberikan penekanan yang sewajarnya. Pendidikan sekolah rendah bermula dari usia tujuh tahun dan mangambil masa selama enam tahun. Menurut Ee Ah Meng (1995) yang dipetik daripada Syed Ismail Syed Mustafa (2011), kurikulum yang dibentuk perlu menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang meransang perkembangan individu secara menyeluruh iaitu merangkumi aspek intelek, jasmani, rohani dan sosial.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) merupakan kurikulum yang baru dilaksanakan pada tahun 2011 di sekolah rendah. KSSR digubal berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Oleh itu, tidak banyak perbezaan di antara kedua-dua kurikulum tersebut kerana KSSR adalah beriringan dengan KBSR. Kurikulum negara kita telah mengalami transformasi sejak dulu lagi seiring dengan matlamat dan hasrat pendidikan negara. Pelbagai pembaharuan dan penambahan telah dilakukan ke atas kurikulum ini termasuklah pendekatan pembelajarannya. Pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang digunakan adalah lebih menarik disamping penambahan beberapa mata pelajaran baru sesuai dengan keperluan semasa dan kemampuan murid. Antara strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan ialah pembelajaran melalui bermain. Kaedah ini amat sesuai digunakan terutamanya kepada murid sekolah rendah. Bermain adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri sesuai dengan  aktiviti yang mereka main (Isenberg & Jolongo, 1997).
Dalam pendidikan peringkat sekolah rendah, guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan murid-murid mendapat hasil yang optimum hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Guru seharusnya mengenal pasti kebolehan dan kemampuan seseorang murid di dalam kelas. Kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza. Menurut Piaget, semua orang melalui proses perkembangan kognitif yang sama tetapi masa untuk mereka sampai ke tahap tersebut adalah berbeza. Oleh itu, guru mestilah memilih aktiviti yang sesuai dengan kemampuan dan kepelbagaian murid agar proses P&P berjalan dengan lancar dan menarik minat pelajar. Selain itu, pendekatan P&P yang digunakan ialah pembelajaran secara konstruktivisme. Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini bermakna pembelajaran merupakan hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada pelajar. Iaitu tidak lagi berpegang pada konsep pengajaran dan pembelajaran yang lama, di mana guru hanya menuang ilmu kepada murid tanpa murid itu sendiri berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka.
            Pada peringkat sekolah rendah, murid berada dalam peringkat operasi konkrit (7 hingga 11 tahun) berdasarkan teori perkembangan kognitif Jean Piaget. Mereka sepatutnya memahami proses transformasi, keterbalikan dan menaakul (Haliza & Joy, 2008). Pada peringkat sekolah rendah, kanak-kanak belum mampu untuk melakukan operasi-operasi pada perkara-perkara abstrak. Beberapa pemikiran boleh dikuasai secara beransur-ansur oleh kanak-kanak pada peringkat ini. Menurut Piaget, kanak-kanak pada peringkat sekolah rendah sudah boleh menguasai konsep pengekalan (conservation). Standard pembelajaran yang terkandung dalam KSSR telah menerapkan konsep pengekalan dalam proses pembelajaran kanak-kanak, sesuai dengan kemampuan dan kebolehan kanak-kanak pada peringkat ini. Konsep pengekalan ini lazimnya diaplikasikan dalam pembelajaran sains dan matematik. Menurut Haliza dan Joy (2008), terdapat tiga prinsip asas dalam konsep ini iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi, dan prinsip keterbalikan. Aplikasi konsep ini termasuklah pembelajaran isipadu yang terkandung dalam matematik dan sains.  Sebagai contoh, murid akan mengetahui isipadu air yang dipindahkan ke dalam bekas yang lain adalah tetap sama walaupun bekas tersebut mempunyai saiz yang sama berdasarkan prinsip identiti. Kanak-kanak juga berupaya untuk menguasai proses pengelasan. Melalui kemahiran ini, mereka dapat mengklasifikasikan objek ke dalam satu set kumpulan. Kemahiran ini penting dalam membantu kanak-kanak menjalani proses P&P dengan lancar dan seterusnya meningkat kefahaman mereka dalam mata pelajaran tertentu. 
            Berdasarkan teori yang telah dikemukakan oleh Robert Havighurst, kanak-kanak pada umur enam hingga 12 tahun sudah boleh menguasai kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M). Menurut Ishak (2004), Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah tertentu supaya pendidikan peringkat rendah bercorak pendidikan asas dengan memberi tumpuan kepada kemahiran 3M. Hal ini bertepatan dengan fokus KSSR yang menekankan 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan menaakul. Oleh itu, kurikulum yang disediakan pada tahap sekolah rendah jelas bertepatan dengan kemampuan kanak-kanak berdasarkan teori yang telah dikemukan. Kemahiran asas ini penting dikuasai pada tahap ini untuk membantu perkembangan kanak-kanak khususnya dalam bidang pendidikan. Sekiranya mereka tidak dapat menguasai kemahiran ini, mereka akan mengalami kesukaran untuk menjalani proses P&P dengan lancar. Tambahan lagi, kurangnya penguasaan terhadap kemahiran ini akan mempengaruhi perkembangan mereka serta mengikis minat belajar mereka. Namun begitu, perkembangan kanak-kanak ini tidak seharusnya dipaksa. Guru dan ibu bapa harus memainkan peranan yang penting.
            Kurikulum Standard Sekolah Rendah juga menekankan aspek fizikal dan estetika. Kurikulum  Standard  Sekolah Rendah  Pendidikan Jasmani bertujuan membina murid menjadi individu yang cergas dan sihat serta berkemahiran, berpengetahuan  dan mengamalkan nilai murni melalui aktiviti fizikal ke arah mencapai kesejahteraan hidup. Bagi peringkat umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak ini berada dalam peringkat perkembangan pergerakan asas (Gallahue & Ozmun, 2006). Berdasarkan teori Robert Havighurst, kanak-kanak pada peringkat sekolah rendah sudah mampu untuk menguasai beberapa kemahiran fizikal dalam permainan seperti berlari dan melompat. Oleh itu, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pada peringkat sekolah rendah ini sangat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Harris (1992), menegaskan bahawa peranan guru Pendidikan Jasmani ialah memperkembangkan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan sikap melalui aktiviti sukan supaya murid menjadi pengamal dalam membudayakan sukan untuk kesihatan dan kecergasan.  Selain daripada untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek, pendidikan jasmani ini adalah salah satu medium untuk mendidik kanak-kanak agar mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Program Permata Negara
Program Permata lahir daripada buah fikiran Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau merupakan pencetus idea projek tersebut pada tahun 2006 sehingga tertubuhnya Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanan-Kanak Negara (NCDRC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 21 Jun 2007. Permata menekankan kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara terancang serta bersepadu. Mengenai program untuk pendidik dan pembantu pendidik Permata dari seluruh Malaysia itu, ia diadakan untuk menyemai semangat kerjasama kepada semua peserta. Kurikulum PERMATA ini digubal dengan berpaksikan falsafah pendidikan kebangsaan Malaysia. Bagi menyesuaikan kurikulum dengan perkembangan fizikal kanak-kanak selaras dengan umur mereka ia dipecahkan dalam lima modul. Di antara modul program pendidikan awal kanak-kanak yang didapati paling sesuai dirujuk ialah Program ‘Surestart’ dari Pen Green Center, Corby, United Kingdom (Aminah Ayob et al, 2008).
Teori perkembangan kognitif Jean Piaget mengatakan bahawa kanak-kanak pada 2 hingga 7 sudah mula menggunakan menggunakan minda untuk membentuk skema-skema baru. Melalui kurikulum Permata, perkembangan kognitif bukan sahaja untuk penguasaan kemahiran akademik semata-mata bahkan sebagai perkembangan deria dan pengetahuan mengenai dunia. Kurikulum PERMATA menggabungkan semua aspek pembelajaran dan asuhan secara bersepadu supaya setiap individu kanak-kanak dapat berkembang secara holistik. Pengalaman pembelajaran yang positif, di samping persekitaran emosi, fizikal dan intelektual yang ceria dan gembira akan memberi impak ke atas perkembangan otak kanak-kanak melalui pembentukan lebih banyak sinaps yang seterusnya akan berkekalan. Perkembangan ini akan mempengaruhi pembangunan ilmu kognitif, kemahiran sosial, pertuturan dan bahasa ketika kanak-kanak tersebut dewasa kelak. Laporan Kajian Keberkesanan Program PERMATA telah disediakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengikuti Program PERMATA telah menunjukkan tahap perkembangan yang memberansang sekurang-kurangnya 1 tahun, misalnya kanak-kanak berumur 2 tahun telah mencapai tahap perkembangan kanak-kanak berumur 3 tahun.
Hubungan emosi dan sosial yang dibina dengan mereka memainkan peranan penting ke arah pembentukan personaliti mereka yang tenang, aman dan penyayang. Maka sekiranya rangsangan yang betul diberikan dalam keadaan ceria dan gembira, otak akan berkembang segar. Oleh itu, kurikulum PERMATA digubal berbeza dari kurikulum asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang ada di Negara ini.
Teknik pembelajaran PERMATA ialah dengan merangsang minda kanak-kanak dengan kaedah meneroka, mencuba dan mengalami melalui aktiviti permainan. Berdasarkan teori Piaget, kanak-kanak sudah boleh menggambarkan dan merancang pergerakan atau aktiviti dengan menggunakan minda mereka untuk membentuk skema. Oleh itu, teknik pembelajaran yang digunakan dalam program ini sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif. Menurut Moyles (2005) bermain adalah pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dan menjadi keutamaan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kanak-kanak boleh mengadaptasi pengalaman daripada aktiviti bermain ini. Kaedah ini mewujudkan persekitaran yang sesuai dan menyeronokkan bagi kanak-kanak melalui teknik-teknik seperti kasih sayang dan belaian, interaksi dan komunikasi, pemikiran dan bacaan, memberi kuasa kepada kanak-kanak melalui pembelajaran secara bebas, mendorong kebolehan dan potensi kanak-kanak serta belajar melalui bermain.
Perkembangan bahasa dan komunikasi pula mendapai 80% kanak-kanak PERMATA boleh menggunakan ayat penuh dan betul berbanding 51% kanak-kanak bukan PERMATA. Menurut Havighurst (1962), kanak-kanak pada peringkat 0 hingga 6 tahun mula menyebut dan berkomunikasi melalui bunyi. Oleh yang demikian, proses perkembangan komunikasi bahasa dapat dikembangkan dengan cepat melalui program ini. Kemahiran berkomunikasi menunjukkan bahawa 72% kanak-kanak PERMATA boleh menggunakan bahasa ekspresi dan bercerita mengatasi 60% kanak-kanak bukan PERMATA, perkembangan sosial pula mendapati 80% kanak-kanak PERMATA bersifat mesra, mudah bergaul dan berkawan, berkongsi mainan, mengikut arahan dan menunggu giliran berbanding kanak-kanak bukan PERMATA.

Program LINUS
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berpendapat suatu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal Tahap 1. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya. Program alternatif yang dirangka merupakan suatu program yang bersepadu untuk murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap I) menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Program ini dinamakan Program Literasi dan Numerasi (LINUS).
Literasi ialah kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah. Murid juga perlu menggunakan kemahiran membaca dan menulis itu dalam pembelajaran serta komunikasi harian. Numerasi pula ialah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik. Murid perlu memahami idea matematik yang mudah. Mereka perlu menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik itu dalam kehidupan harian. Pelaksanaan LINUS bermula pada tahun 2010. Murid-murid tahun 1 mengalami ujian saringan. Ujian saringan pertama dijadualkan pada bulan Mac, saringan kedua pada bulan Jun dan saringan ketiga pada bulan September.
Pelaksanaan program LINUS membantu kanak-kanak dalam perkembangan kanak-kanak. Pada tahap satu (Tahun 1 hingga Tahun 3), kanak-kanak seharusnya sudah boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi. Kanak-kanak pada peringkat 7 hingga 11 tahun sepatutnya sudah boleh menguasai kemahiran asas 3M termasuklah dalam numerasi dan literasi. Menurut Roselan (2003), kemahiran berbahasa merupakan kemahiran asas yang amat penting dan perlu ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk menguasai kemahiran asas ini, program LINUS ini sangat membantu dalam proses perkembangan kanak-kanak seterusnya memudahkan kanak-kanak untuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran dengan lancar dan berkesan. Peranan guru sangat besar bagi memastikan program ini berjaya.

Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S)
Dasar Satu Murid Satu Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah (KPM, 2010). Dasar ini menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang akan melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi. Dasar ini menyeru dan memberikan peluang kepada pelajar yang kurang aktif bersukan untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti sukan. Bidang sukan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara.
            Dasar ini juga menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat, semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara. Dasar ini akan membantu menggalakkan perkembangan kanak-kanak yang sihat dari segi fizikal. Dasar ini mempunyai perkaitan di antara teori perkembangan kanak-kanak Robert Havighurst yang menyatakan bahawa kanak-kanak pada peringkat  sudah mampu menguasai kemahiran fizikal. Menurut Arasoo (1989), terdapat dua faktor utama yang mengawal kemahiran-kemahiran motor iaitu sikap atau persekitaran dan faktor genetik, termasuklah perkembangan sistem saraf pusat dan fungsi neurogikal. Oleh itu, penubuhan dasar ini akan membantu dalam meningkatkan kemahiran-kemahiran motor khususnya untuk aktiviti-aktiviti sukan seperti olahraga.
Selain itu, Dasar 1M 1S ini juga menggalakkan murid-murid untuk bersaing secara sihat terutamanya dalam sukan. Melalui sukan juga kanak-kanak dapat membina hubungan sosial yang baik. Teori perkembangan Havighurst mengatakan bahawa pada peringkat ini kanak-kanak sudah dapat menjalin hubungan sosial yang baik antara rakan sebaya. Oleh itu, melalui sukan kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam perhubungan harian.

RUMUSAN
Usaha memajukan kanak-kanak di peringkat awal merupakan asas pembentukan modal insan yang berkualiti yang memberi pulangan tertinggi dalam kemajuan ekonomi kerana ia merupakan cara berkesan untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Kanak-kanak yang dipelihara dan dididik hari ini perlu dilengkapkan bukan sahaja bagi menghadapi cabaran yang biasa masa kini tetapi juga kerumitan yang mungkin dihadapi masa akan datang. Oleh itu, mendidik anak-anak kita dengan betul adalah sesuatu yang perlu kita lakukan, bukan sahaja untuk faedah mereka tetapi juga bagi masa depan negara. Kualiti modal insan negara merupakan elemen penting bagi mencapai aspirasi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan modal insan perlu holistik, yang merangkumi usaha menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran termasuk sains dan teknologi, keupayaan keusahawanan selain menyemai sikap progresif, positif dan beretika melalui pelajaran, latihan dan pembelajaran seumur hidup.
Oleh itu, adalah penting bagi memastikan semua sistem dalam masyarakat bermula dari ibu bapa, keluarga dan masyarakat dan sistem sekolah, untuk bekerjasama sepenuhnya bagi memaksimumkan potensi kanak-kanak itu dalam persekitaran holistik merangkumi lingkungan intelektual, kebudayaan dan kerohanian



KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

1.0 PENGENALAN
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah menggariskan matlamat dan hasrat pendidikan di negara kita. Transformasi kurikulum yang telah berlaku di negara kita sejak dulu lagi adalah digubal berdasarkan falsafah ini. Transformasi kurikulum merupakan proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah (BPK, 2010). Menurut Hendyat Soetopo dan Wasty Soemanto (1991), perubahan kurikulum ialah inovasi dan perubahan kurikulum merujuk kepada usaha untuk mengubah dan menyesuaikan matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran mengikut kepada nilai, budaya, falsafah dan sumber yang digunakan. Kurikulum perlu disesuaikan mengikut peredaran masa sama ada perubahan masa dan masyarakat dan dunia yang begitu pesat.
Sejak awal kemunculan pendidikan di negara kita, kurikulum negara telah menerima pelbagai transformasi dan perubahan. Pada tahun 1983, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diperkenalkan. Selepas 10 tahun iaitu pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan. Kurikulum ini telah disemak pada tahun 2003 kerana dasar pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Selain itu, semakan semula ini juga bertujuan untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa. Transformasi kurikulum sekali lagi berlaku dalam pendidikan di Malaysia  pada tahun 2011 iaitu KBSR digubal menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP).




2.0 ASPEK-ASPEK DALAM KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu pada tahun 2011 masih lagi dalam proses penambahbaikan. Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

2.1 PRINSIP-PRINSIP KSSR
Objektif pembentukan KSSR ialah selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara dan berlandaskan prinsip–prinsip KBSR seperti yang berikut :

2.1.1 Pendekatan Bersepadu
Pendekatan bersepadu merupakan satu pendekatan di mana unsur-unsur pengetahuan, kemahiran, dan nilai digabungkan agar wujud kesepaduan dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (Choong, 2008). Terdapat empat cara konsep bersepadu ini berlaku, iaitu melalui penggabungjalinan kemahiran, penyerapan, kesepaduan antara dua unsur, dan unsur merentasi kurikulum. Konsep bersepadu ini berlaku semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga aktiviti kokurikulum.

2.1.2 Perkembangan individu secara Menyeluruh
Prinsip ini membawa maksud bahawa semua mata pelajaran yang ada dalam KSSR memainkan peranan yang penting bagi memenuhi keperluan jasmani, rohani, emosi dan intelek untuk membantu perkembangan potensi individu.

2.1.3 Peluang Pendidikan yang Sama Untuk Semua Murid
KBSR dan KSSR menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua murid dengan menyediakan tahap kurikulum yang sama bagi tahap persekolahan yang sama tanpa mengira jenis aliran sekolah. Hanya bahasa pengantar sahaja yang berbeza digunakan mengikut jenis aliran.

2.1.4 Pendidikan Seumur Hidup
Berdasarkan prinsip ini, pendidikan merupakan satu usaha berterusan seperti yang telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Malaysia. Proses pendidikan merupakan suatu proses yang berlaku secara berterusan sejak kita dilahirkan sehingga kita mati. Prinsip inilah yang telah diterapkan dalam KBSR dan KSSR, yang menggalakkan manusia menuntut ilmu sama ada secara formal atauipun tidak.
Sekolah memainkan peranan yang penting untuk memastikan pendidikan dituntut sepanjang hayat. Hal ini kerana sekolah memainkan peranan sebagai tempat murid-murid memperoleh ilmu dan belajar kemahiran yang tertentu. Selain itu, daripada sekolah disamping peranan guru, murid juga dapat memupuk minat mereka untuk menimba ilmu dan seterusnya berusaha untuk mencari ilmu di mana jua berada.


2.2 STRUKTUR KSSR
Terdapat enam tunjang KSSR yang membawa kepada perkembangan individu secara seimbang untuk mencapai matlamat pendidikan. Setiap tunjang ini mempunyai penegasan dan fokus tersendiri.

2.2.1 Komunikasi
Menurut Ali  Abdul Ghani (2008) tunjang komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabungjalinkan kemahiran berbahasa semasa berinteraksi. Interaksi ini boleh berlaku secara verbal dan nonverbal. Komunikasi merupakan media pengantara yang digunakan oleh guru dan murid di sekolah. Berdasarkan tunjang ini, murid akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran berkomunikasi dan berbahasa seperti membaca, menulis dan bertutur.
Mohd Salleh Lebar (2000), menjelaskan dalam kehidupan harian, komunikasi amat penting terutamanya dalam pengiriman berita, pemindahan dan tindak balas orang yang menerima. Sekiranya penyampaian tidak tepat atau jelas terutamanya daripada seorang guru maka murid yang menerima maklumat mengalami kekeliruan untuk menjawab atau bertindak balas.

2.2.2  Kerohanian, Sikap dan Nilai
Sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, rakyat Malaysia seharusnya percaya dan yakin terhadap Tuhan masing-masing. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dibina berdasarkan Rukun Negara juga mengandungi konsep kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Menurut Ee Ah Meng (1995) yang dipetik daripada Syed Ismail Syed Mustafa (2011), kurikulum yang dibentuk perlu menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang meransang perkembangan individu secara menyeluruh iaitu merangkumi aspek intelek, jasmani, rohani dan sosial. Pendidikan agama dan moral merupakan bidang yang relevan dalam tunjang ini. Melalui tunjang ini, pelaksanaan sistem pendidikan yang berkesan akan melahirkan insan yang menghayati, memahami dan mengamalkan norma-norma kemasyarakatan yang mencerminkan identiti rakyat Malaysia.  

2.2.3 Kemanusiaan
Aspek kemanusiaan ini merujuk kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang masyarakat dan alam sekitar setempat, negara dan global. Selain itu, aspek ini juga memberi peluang kepada murid-murid untuk memahami diri sendiri, perhubungan antara keluarga, orang sekeliling dan alam sekitar. Penguasaan ilmu ini penting kerana ianya mewujudkan semangat cinta akan negara ataupun lebih dikenali sebagai semangat patriotisme.
            Pada tahun 2014, pendekatan modular kemanusiaan akan digunakan terhadap murid tahap dua, bermula tahun empat. Dalam modul kemanusiaan ini, pelajar akan mempelajari sejarah. Melalui sejarah, semangat patriotisme dapat dipupuk kerana kita akan dapat mengetahui asal usul tempat kita.

2.2.4  Keterampilan Diri
Aspek keterampilan diri ini merupakan salah satu agenda pembangunan modal insan, iaitu pembentukan individu yang mempunyai keperibadian yang tinggi. Matlamat pendidikan negara yang ingin melahirkan individu yang seimbang daripada semua aspek berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dapat membantu negara dalam melahirkan insan yang beketerampilan dari segi fizikal khususnya pemupukan kepimpinan melalui aktiviti kurikulum dan kurikulum.

2.2.4     Fizikal dan Estetika
Aspek fizikal dan estetika ini merangkumi perkembangan fizikal dan penjagaan kesihatan. Perkembangan fizikal dan estetika pada peringkat awal khususnya semasa sekolah rendah haruslah dibentuk untuk melakukan aktiviti sukan, bermain alat muzik dan sebagainya. Aspek fizikal individu dapat dikembangkan melalui aktiviti pendidikan jasmani dan kesihatan. Selain itu, potensi estetika yang merujuk kepada pemupukan kreativiti, bakat dan apresiasi yang dapat melahirkan ekspresi diri juga perlu ditekankan dalam aspek ini.  
Selain itu, aspek ini juga menekankan kreativiti yang mementingkan proses berbanding hasil. Pembelajaran pada peringkat sekolah khususnya semasa sekolah rendah seperti pendidikan seni visual dan pendidikan muzik membantu pelajar untuk menzahirkan kreativiti mereka.

2.2.6  Literasi Sains dan Teknologi
Reka bentuk tunjang literasi dan teknologi ini adalah untuk memenuhi keperluan semasa sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat pada zaman kini. Aspek Sains dan Teknologi merupakan pendekatan inkuiri, pengetahuan sains, kemahiran saintifik dan sikap saintifik.
Pada peringkat awal, pengetahuan dan kemahiran matematik, penyelesaian masalah, dan ICT juga diberi penekanan dalam aspek ini. Dalam pembelajaran sains semasa sekolah rendah, murid-murid diberi pendedahan dan peluang untuk meneroka persekitaran mereka. Penguasaan kemahiran ini akan membantu murid untuk mengendalikan tugasan harian mereka dengan lebih  berkesan dan bertanggungjawab.

2.3     BIDANG PELAJARAN
Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 menggunakan pendekatan yang lebih interaktif dengan subjek yang sedikit. Kurikulum ini menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan subjek baru. Pelaksanaan KSSR adalah usaha untuk mentranformasikan pendidikan sekolah dengan menyatupadukan pelbagai disiplin ilmu bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna.
Selain itu, beberapa pendedahan baru telah diperkenalkan dalam KSSR seperti pendidikan seks. Pendedahan pendidikan seks yang akan diajar menerusi Pendidikan Kesihatan akan membabitkan murid pada Tahap Satu iaitu murid Tahun 1 hingga Tahun 3. Menurut Julaihi (2010), antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan. Guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan telah diberi kursus manakala bahan pengajaran turut disediakan.
Komposisi Kurikulum Standard Sekolah Rendah terdiri daripada Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif. (Rujuk Lampiran ). Pembahagian masa juga bertambah daripada 1350 dalam KBSR kepada 1380 dalam KSSR.
Modul Teras Asas terdiri daripada subjek asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil (SJKC dan SJKT), Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan dan Matematik.
Modul Teras Tema pula terdiri daripada subjek Dunia Sains dan Teknologi, Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik.
Modul Elektif pula terdiri daripada bahasa pilihan seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Rendah, Bahasa Tamil Sekolah Rendah, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Peruntukan masa pengajaran bagi modul elektif adalah sebanyak 90 minit (3 waktu) yang dimasukkan dalam jadual persekolahan. Sekolah perlu melaksanakan sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah. Sekolah boleh membuat pilihan untuk melaksanakan satu atau kombinasi mata pelajaran daripada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Dunia Sains dan Teknologi sekiranya sekolah tidak dapat menjalankan modul Elektif disebabkan kekurangan prasarana. Contoh kombinasi mata pelajaran ialah dengan menjalankan pengajaran Bahasa Melayu selama 60 minit dan Bahasa Inggeris selama 30 minit. Pemilihan subjek atau kombinasi subjek bergantung kepada kesediaan dan keupayaan sekolah.
Bidang pelajaran KSSR bagi Tahap Dua pula akan mula dilaksanakan pada tahun 2014 bermula tahun 4. Pada Tahap Dua, terdapat dua modul yang digunakan iaitu Modul Teras Asas dan Modul Elektif. Subjek yang bakal diperkenalkan ialah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat dan Sejarah. Manakala subjek sedia ada termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil (SJKC dan SJKT), Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Jasmani, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

2.4     STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menegaskan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai kesan yang optimum. Antara pendekatan P&P yang digunakan adalah seperti berikut :
      i.         Hands-on learning
    ii.        Pembelajaran melalui permainan
   iii.        Inkuiri penemuan
   iv.        Pembelajaran berasaskan projek
    v.        Pembelajaran luar bilik darjah
   vi.        Pembelajaran secara kontekstual
  vii.        Pembelajaran secara konstuktivisme
viii.        Pembelajaran secara masteri
(BPK, 2010)
Strategi pembelajaran dan pengajaran yang digunakan dalam KSSR lebih berpusat kepada murid. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), pendekatan yang digunakan memberikan peluang pembelajaran yang tidak terhad kepada murid.  Guru-guru hendaklah memainkan peranan yang penting sebagai medium penyampai ilmu dan juga sebagai pembimbing untuk membantu murid mencapai standard yang diperlukan.
Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza (Wahab, 2010). Contohnya, dalam bilik darjah KSSR yang  terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulang cergas, memerlukan pelbagai kaedah mengajar yang dirancang secara teratur untuk membentuk strategi pengajaran yang berkesan.  

3.0 BANDING BEZA ANTARA CIRI-CIRI KBSR DAN KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telah mula dilaksanakan terhadap murid Tahun Satu 2011 merupakan hasil penambahbaikan Kurikulum bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan dan juga persamaan antara ciri-ciri KBSR dan KSSR.

3.1 PERSAMAAN ANTARA CIRI-CIRI KBSR DAN KSSR
KSSR yang telah digubal berdasarkan KBSR sudah semestinya mempunyai persamaan. Persamaan yang paling ketara dapat dikenalpasti ialah persamaan prinsip antara KBSR dan KSSR seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Prinsip-prinsip tersebut ialah pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan seumur hidup, dan pendidikan yang sama untuk semua murid.
            Selain itu, kedua-dua kurikulum ini juga mendukung matlamat dan objektif yang sama, iaitu memberi tumpuan kepada perkembangan individu secara menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



3.2 PERBEZAAN ANTARA CIRI-CIRI KBSR DAN KSSR
KBSR
CIRI-CIRI
KSSR
Mementingkan umur
Fokus pembelajaran
Mementingkan tahap
Menekankan 3 aspek :
·         Komunikasi
·         Perkembangan diri individu
·         Manusia dan alam sekeliling
Reka bentuk kurikulum
Berasaskan enam tunjang
·         Komunikasi
·         Kemanusiaan
·         Perkembangan fizikal dan estetika
·         Keterampilan diri
·         Kerohanian, sikap dan nilai
·         Literasi sains dan teknologi
Tahap 1 :
·         Mata pelajaran teras, wajib dan tambahan.
Tahap 2 :
·         Mata pelajaran teras, wajib dan tambahan.
Organisasi Kurikulum
Tahap 1 :
·         Modul Teras Asas
·         Modul Teras  Tema
·         Modul Elektif
Tahap 2 :
·         Modul Teras Asas
·         Modul Elektif
Fokus 3M ( Membaca, mengira dan menulis )
Fokus
Fokus 4M (Membaca, mengira, menulis dan menaakul)
Sukatan pelajaran
Bahan Kurikulum
Dokumen Standard Kurikulum
Penilaian yang ketara kepada pentaksiran sumatif
Kaedah pentaksiran
·         Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
·         Dijalankan secara berterusan
·         Menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran
·         Bersifat autentik dan holistik.

3.2.1     Tahap dan umur
Kurikulum Standard Sekolah Rendah lebih mementingkan tahap manakala KBSR mementingkan umur. Dalam erti kata yang lain, fokus pembelajaran KBSR ialah mengikut umur ataupun tahun, manakala dalam KSSR fokus pembelajaran adalah berdasarkan kepada tahap persekolahan. Justeru, kita dapat melihat bahawa peranan guru dalam KSSR amat penting bagi mengenalpasti tahap setiap murid yang ada di dalam kelas bagi memudahkan setiap murid memahami pembelajaran yang disampaikan. Dalam KBSR pula, hanya umur yang dilihat untuk menyampaikan murid tanpa mengenalpasti tahap seseorang murid untuk menerima ilmu.
            Pada Tahap 1 dalam kurikulum baru ini, fokus utama pembelajaran adalah kemahiran 4M, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Disamping itu, fokus tahap 2 pula ialah pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
3.2.2     Reka Bentuk Kurikulum
Reka bentuk kurikulum KBSR adalah berasaskan kepada tiga bidang iaitu komunikasi, manusia dan alam sekeliling, dan perkembangan diri individu. Manakala, reka bentuk KSSR pula berasaskan kepada enam tunjang iaitu komunikasi, kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika, serta kerohanian, sikap dan nilai. Organisasi Kurikulum
Pada peringkat sekolah rendah, murid-murid dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap 1 (Tahun Satu hingga Tahun Tiga) dan Tahap 2 (Tahun Empat hingga Tahun Enam). Dalam KBSR, murid Tahap 1 akan mempelajari mata pelajaran yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mata pelajaran teras, wajib dan tambahan. KSSR pula mata pelajaran dibahagikan kepada tiga modul iaitu modul teras asas, modul teras tema, dan modul elektif.Organisasi kurikulum bagi Tahap 2 dalam KBSR adalah sama pada Tahap 1. Manakala, bagi KSSR pula hanya terdapat dua modul yang digunakan iaitu modul teras asas dan modul elektif.
            Kedua-dua kurikulum ini menggunakan organisasi kurikulum yang berbeza. Dalam KSSR, pendekatan modular telah digunakan yang mana modul akan digunakan untuk menggantikan buku teks.
3.2.3     Bahan Kurikulum
Dalam KBSR, sukatan pelajaran digunakan sebagai bahan kurikulum. Sukatan pelajaran merupakan isi kandungan pelajaran termasuk topik atau subtopik yang perlu diajar atau dipelajari.
            KSSR pula menggunakan dokumen standard kurikulum. Dokumen standard Kurikulum merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh murid dalam satu tempoh persekolahan, merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Penekanan adalah elemen yang berorientasikan kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi.
Berbanding dengan KBSR, seseorang guru akan dibekalkan dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang dilengkapi dengan Pemetaan Huraian Sukatan Pelajaran, sebagai panduan untuk menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan dan Rancangan Pengajaran Harian di peringkat sekolah. Murid–murid pula dibekalkan dengan buku teks. Manakala dalam KSSR pula guru-guru akan menggunakan Dokumen Standard yang terdiri daripada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran, Modul Pengajaran (Exemplar) turut disediakan sebagai panduan untuk guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran serta Modul Pembelajaran adalah untuk bahan pembelajaran untuk murid untuk menggantikan buku teks.
3.2.4     Kaedah pentaksiran
Kedua kurikulum ini mempunyai kaedah pentaksiran yang berbeza yang mana kaedah pentaksiran dalam KBSR memberi penekanan yang ketara kepada penilaian sumatif semata-mata. Kaedah pentaksiran dalam KSSR iaitu Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) lebih ditekankan berbanding penilaian sumatif. Kaedah pentaksiran yang digunakan juga adalah berterusan untuk mengesan pencapaian dan perkembangan murid dalam pembelajaran. Kaedah pentaksiran ini juga adalah pelbagai serta bersifat autentik dan holistik.

4.0 IMPLIKASI PERUBAHAN KURIKULUM
Perubahan kurikulum adalah untuk penambahbaikan terhadap kurikulum sedia ada selaras dengan matlamat dan hasrat pendidikan negara.
4.1 Penambahbaikan Kurikulum Pendidikan Khas
Sebagai anggota masyarakat, golongan kurang upaya mempunyai hak dan kedudukan yang sama seperti golongan yang lain. Oleh itu, Kurikulum Pendidikan Khas yang melibatkan tiga cabang utama iaitu Masalah Pembelajaran, Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran turut digubal berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk memenuhi keperluan mereka. Beberapa mata pelajaran dalam pendidikan khas telah diubahsuai dan ditambah bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih teratur dan menepati keperluan murid-murid berpendidikan khas ini.
Bagi Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, mata pelajaran yang ditambah ialah Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan manakala dua mata pelajaran yang diubahsuai adalah Pendidikan Jasmani Suaian dan Dunia Seni Visual Suaian. Masalah Pendengaran pula dilengkapkan dengan penambahan mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi selain mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam yang diubahsuai. Sementara bagi Masalah Pembelajaran, kesemua mata pelajarannya dibuahsuai.
Pengubahsuaian dan penambahan ini dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran murid-murid kurang upaya supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus perubahan pendidikan dan transformasi yang dilakukan oleh kerajaan. Penambahan mata pelajaran baru diwujudkan bertujuan untuk memberi pendedahan awal mengenai kemahiran asas yang amat diperlukan oleh murid-murid berkeperluan khas ini. Pengubahsuaiannya pula dilihat mampu memberi skop baru kepada mereka seterusnya dapat meningkatkan keupayaan serta pemahaman dalam proses pembelajaran. Selain itu, melalui penambahbaikan kurikulum pendidikan khas ini juga hasrat pendidikan negara juga dapat dicapai kepada murid-murid kurang upaya. 

4.2 Pengenalan Tiga Kemahiran Baru Merentas Subjek
Tiga elemen nilai tambah telah diperkenalkan dalam KSSR iaitu elemen kreatif dan inovasi, keusahawanan, serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bertujuan memenuhi keperluan murid dalam membangunkan modal insan yang holistik, berpengetahuan, berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi, berkemahiran tinggi serta berkeperibadian mulia selaras dengan matlamat dan hasrat pendidikan negara. Selain itu, elemen nilai tambah yang diperkenalkan dalam KSSR adalah untuk membentuk modal insan yang berpontensi untuk merealisasikan teras pembangunan kurikulum seperti Wawasan 2020, Cabaran Abad ke-21, dan Model Ekonomi Baru pada masa hadapan yang telah dirangka beberapa tahun yang lalu.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada  kreativiti dan inovasi rakyatnya adalah lebih mendesak. Elemen kreatif dan inovasi dalam pendidikan adalah kunci kejayaan dalam pelbagai cabang bidang terutamanya yang berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains.  Justeru, elemen kreativiti dan inovasi diterapkan untuk membentuk transfomasi KSSR yang bertujuan melahirkan modal insan yang berkeupayaan dan berdaya tahan untuk menghadapi cabaran yang mendatang dan terus bersaing. Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah untuk menerapkan daya pemikiran kreatif dan inovasi bermula dari bangku sekolah rendah bermula Januari 2011 dengan peggubalan kurikulum negara. Penerapan ini adalah sesuai dalam usia ini kerana bukan semua murid dilahirkan dengan kreativiti dan inovasi namun bukanlah mustahil untuk membentuk kemahiran tersebut sejak dari kecil.
Elemen keusahawanan telah diperkenalkan dalam KSSR. Elemen ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid-murid mengenai bidang keusahawan yang sememangnya mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dan secara tidak langsung dapat mengurangkan bilangan siswazah menganggur sebaik sahaja bergraduat di masa hadapan. Tuntutan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) membuktikan guru-guru perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan selain daripada memantapkan pengetahuan dalam bidang atau pengkhususan masing-masing. Oleh itu, sistem pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan usahawanan dengan harapan negara usahawan-usahawan yang terdidik ini akan membangunkan ekonomi negara.
Dalam era globalisasi yang berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan pembudayaan dan penguasaan  ICT di kalangan pelajar. Perkembangan terkini menyaksikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadi alat pemangkin utama untuk menyebar dan menyimpan maklumat dan seterusnya membantu pelajar membina pengetahuan baru  (Lechner  & Boli, 2000). Melalui KSSR, elemen ini telah diperkenalkan dan murid akan didedahkan dengan kemahiran tersebut dalam proses P&P mampu membuka ruang kepada murid-murid untuk menerokai dunia tanpa sempadan melalui internet dalam mendapatkan pelbagai maklumat bagi tujuan pembelajaran dengan hanya berada di dalam bilik darjah sahaja. Selain itu, mereka juga akan melihat dan mencontohi perkembangan positif daripada negara luar dengan adanya kemahiran ini.
4.3 Wujudnya Sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)
Pada abad ke-21, sistem pendidikan di negara kita telah mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan seiring dengan kemajuan yang sedang berlaku. Kurikulum sekolah yang sebulum ini hanya dinilai berdasarkan peperiksaan semta-mata. Melalui transformasi kurikulum berpusat, modul baharu KSSR telah menggubal Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), yang mana UPSR  akan mengandungi dua komponen iaitu penilaian berasaskan sekolah dan peperiksaan . Penilaian berasaskan sekolah mewakili 40% dan peperiksaan adalah sebanyak 60%. Sistem ini hampir sama dengan penilaian yang diguna di institut pengajian tinggi seperti juga penilaian di institusi perguruan kini.
Sistem penilaian yang bukan 100% berdasarkan peperiksaan akan dapat memberi penilaian yang adil kerana segala aktiviti di sekolah, kecemerlangan fizikal dan sebagainya akan diambil kira dalam menentukan keputusan UPSR. Oleh itu, murid yang kurang dalam peperiksaan tetapi mempunyai bakat dalam aktiviti fizikal akan mendapat markah yang lebih dalam aktviti fizikal dan begitulah sebaliknya. Selain itu, proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) melalui transformasi kurikulum akan lebih menyeronokkan dan tidak terlalu berorientasikan kepada peperiksaan. Murid tidak akan terbeban dengan peperiksaan melalui sistem penilaian ini.
Pelbagai kaedah pentaksiran digunakan dalam penilaian ini. Penilaian berasaskan sekolah ini mempunyai kaedah pelaksanaan tertentu dan dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dalam diri murid. Dengan cara ini, guru akan memberi fokus untuk menambah baik kelemahan seterusnya meningkatkan kemahiran dalam satu-satu bidang kepada individu tersebut. Disamping itu, bagi memastikan murid-murid memenuhi standard yang ditetapkan, aktiviti pemulihan, pengukuhan dan penggayaan dilaksanakan mengikut keperluan murid.
4.4 Fokus 4M
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, KSSR merupakan penambahbaikan kepada kurikulum sedia ada iaitu KBSR. KBSR telah memberi fokus kepada 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira dalam peringkat awal pembelajaran murid-murid khususnya murid tahap 1 sekolah rendah. Implikasi daripada pembentukan KSSR ialah penambahan daripada 3M kepada 4, iaitu wujudnya kemahiran menaakul dalam kurikulum sekolah rendah.
Menaakul ialah kemahiran berfikir yang membolehkan seseorang murid  itu membuat keputusan berdasarkan akal dan logik. Melalui kemahiran ini, murid diberi ruang dan galakan untuk mengasah kemahiran menaakul. Selain itu, mereka juga dapat membezakan perkara positif dengan negatif.
Penambahan 3M kepada 4M ini jelas menunjukkan bahawa KBSR mengalami penambahbaikan dengan pembentukan KSSR. Fokus 3M hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan semata-mata, sebaliknya fokus 4M ini lebih kepada penguasaan ilmu pendidikan untuk melahirkan individu yang seimbang. Selain itu, kemahiran ini juga akan membantu pelajar memahami proses untuk memperoleh sesuatu ilmu berbanding daripada menerima ilmu. Oleh itu, kemahiran ini penting dalam kehidupan seharian untuk membaca situasi yang berlaku di sekeliling kita agar tidak mudah tertipu, dan bersedia untuk melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan dalam masyarakat.

5.0 RUMUSAN
Perubahan demi perubahan telah berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara kita bermula dari pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1984 sehinggalah wujudnya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mula dilaksanakan pada 2011. Transformasi kurikulum yang telah berlaku ini adalah bertujuan untuk menambah baik kurikulum sedia ada agar setanding dengan negara maju di samping melahirkan individu yang seimbang dari segi JERIS.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita agar relevan dengan cabaran dalam era globalisasi kini. Guru memainkan peranan yang penting bagi menjayakan proses P&P seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti bermula dari pendidikan rendah. Semua pihak termasuklah guru, ibu bapa dan pembuat dasar haruslah peka terhadap transformasi kurikulum ini agar matlamat dan hasrat pendidikan dapat dicapai.